Nur Kasih: Nilai Cinta & Pengorbanan

Published by Aidilx at 1:10 am under Agama, Hiburan, Info Semasa

Nur KasihKredit khas: Nur Kasih TV3

Pada asalnya, aku tidak begitu teruja untuk mengikuti slot drama ini di TV3. Entah kenapa, mungkin rasa ‘diseru’ untuk menonton drama ini maka aku mula menggagahkan diri merapati kaca televisyen minggu lepas. Tambahan pula, seorang sahabat di negeri Datuk Maharajalela tampak beriya-iya mengajak aku menonton drama ini. Nur Kasih jauh berbeda dengan drama Nur Kasih yang pernah disiarkan di RTM suatu masa dahulu. Nur Kasih yang ditunjangi oleh Rusdi Ramli lebih berkonsepkan cinta kampus (pandangan peribadi) dan runut bunyinya diambil daripada lagu Nur Kasih (In-team). Jadi, apa istimewanya drama ini sehingga menjadi buah mulut dan butir bicara mereka?

Secara jujurnya, aku tidak begitu gemar menonton drama atau filem Melayu. Bukan semua cuma sebahagian drama dan filem sahaja. Aku bukan menidakkan kemampuan dan kejujuran pengarah drama tempatan sekarang di dalam menghasilkan karya mereka cuma ada kalanya drama dan filem yang disajikan terlalu stereotaip. Katalah aku apa saja tetapi itulah hakikat yang perlu kita hadapi.

Khabir Bhatia, pengarah muda kelahiran New Delhi telah membuka jalan baru bagi industri perfileman dan drama tempatan. Hasil kerjanya begitu aku senangi. Sudah pasti kamu teringat akan filem Cinta, Sepi, Setem, Kekasih Kuseru dan yang terbaru, Nur Kasih yang merupakan olahan kreatif beliau. Pada pandangan aku, beliau seorang yang dalam bijak mencari dan membidik pemikiran penonton. Bahkan bukan itu sahaja, bagi aku beliau pandai bermain dengan alam atau persekitaran. Buktinya, sinematografi yang digunakan di dalam drama Kekasih Kuseru dan Nur Kasih ini ternyata memberi impak yang berkesan kepada karyanya.

Tidak adil memberikan pujian hanya kepada pengarah Nur Kasih ini saja. Pujian juga seharusnya dialirkan kepada insan dibelakang tabir Nur Kasih iaitu Mira Mustafa, Maizura Mohd Ederis dan Mariana Hashim di atas penghasilan skrip yang aku kira cukup mantap. Saudari Mira (seperti yang ditulis diblog saudari Maizura) mengatakan bahawa “drama ini bukan dakwah. Drama cinta dan keluarga.” Tidak kira apa jua genrenya, aku memang mengharapkan drama sebegini dihidangkan dikaca televisyen.

Jiran kita (Indonesia) telah banyak menghasilkan sinetron dan filem berbentuk keagamaan yang menerapkan unsur kecintaan dan kekeluargaan. Intipati dan mesejnya mudah diserap dan dicerna oleh masyarakat kita. Jadi, tidak salah andai kita memperbanyakkan drama dan filem sebegini kerana kebejatan sosial sekarang mula menghakis nilai-nilai kemanusian, kecintaan dan sebagainya dari dalam diri. Maka, apakah perlu kita memperbanyakkan drama dan filem yang makin menggalakkan masyarakat kepada unsur negatif? Tepuk dada tanya minda.

Berbalik kepada Nur Kasih.

Sahabat bertanyakan kepadaku melalui es-em-es: “tidak boleh ke lelaki belajar menyayangi?.”
Jawapan berselorohku kepadanya: “Ambil masa. Kalau tidak sayang buat apa nak paksa.”

Nur Kasih mula memasuki fasa yang menyesakkan jiwa (pinjam ayat sahabat di sana). Pergolakkan hati dan perasaan yang dialami oleh Nur Amina tatkala mana kata-kata kasar Adam seringkali menghentam hati lembut seorang wanita. Demi keluarga; di atas nama pengorbanan maka dua hati ini terpaksa korbankan cinta dan ego. Masih jauh perjalanan drama ini. Sudah pasti setiap episod akan mengundang rasa ‘menyesakkan jiwa’ kepada penonton dengan pelbagai konflik yang akan berlaku kepada Adam, Aidil, Nur Amina dan Siti Sarah.

Sebelum aku tuntaskan entri Nur Kasih ini, aku ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada tenaga produksi daripada pengarah sehinggalah kepada pelakonnya kerana telah mampu membuka hati aku untuk menonton drama ini dan untuk mencicip mesej yang cuba diketengahkan. Mudah-mudahan, mesej drama ini sampai ke hati pada setiap penonton di Malaysia. Buat kamu yang merasakan Nur Kasih ini sama seperti drama yang lain (tipikal dan stereotaip), kamu silap sama sekali!

Petikan dialog ini terlalu bermakna buatku:

hajjah-khadijah “Adam dan Aidil tak sama.
Kalau kita berikan air pada pokok yang ini, berbunga.
Kalau disiram banyak mana pada pokok yang satu lagi tu, takkan berbunga, bang.
Malah jadi layu.
Sebab dia perlukan tanah kering untuk hidup subur.
Dia perlukan matahari, tapi kita beri air, bang…” (Hajjah Khadijah)

**Kepada yang tidak berpeluang menonton episod yang lepas, bolehlah memuatturun drama tersebut di sini: Nur Kasih. Kamu juga boleh memberikan komen atau pendapat peribadi tentang drama ini di laman khas untuk Nur Kasih. Terima kasih untuk sokongan anda pada drama ini. Selamat menonton. :)

0 comments: